Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Selasa, 20 Oktober 2009

ADuhai C kEcIL!!!!

Seperti biasa selesai solat asar aku bersiap untuk memulakan tugasan
mengajar anak-anak kecil sekitar rumahku mengaji Al-Quran dan Iqra. Setelah bersiap, aku segera turun ke tingkat bawah mengambil kunci pagar lantas begegas keluar membuka pagar kerana jam hampir pukul 4.30 petang. Kelihatan anak-anak kecil menungguku di muka pintu pagar dengan wajah yang tersenyum dan penuh bersemangat untuk mengaji.

Apabila pagar dibuka, anak-anak riang ini berlari menuju ke depan pintu sambil berbaris. Selepas aku memberi arahan, barulah mereka masuk,memberi salam dan duduk. Aku pun duduk dan mula menyemak bacaan Iqra mereka. Semasa aku sedang khusyuk menyemak bacaan iqra, perhatian ku dicuri oleh 3 sekawan iaitu Syah,Haziq dan Haikal yang sedang menunggu giliran mereka. Mereka merupakan kanak-kanak yang rajin mengaji tetapi suka mendapat perhatian dari guru dengan bertanya bermacam-macam soalan terutamanya Haziq dan adiknya Haikal. Antara soalan popular mereka,” cikgu, lepas ini boleh baca 2 kali sahaja?”,”cikgu,hari ini baca muka surat mana?”, dan sebagainya. Namunku jawab persoalan mereka itu dan menyuruh mereka mengulangkaji pelajaran semalam sementara menunggu giliran. Mereka menuruti arahan ku. Terhibur aku melihat gelagat mereka yang seakan-akan Upin dan Ipin yang masih muda mengenal dunia. Aku kembali menyemak bacaan kanak-kanak di kiri dan kanan ku yang sedang gigih membaca Iqra.


Tiba-tiba aku dikejutkan dengan pertanyaan daripada Haziq,”cikgu,kenapa kita mesti belajar mengaji?”

Aku terdiam seketika sambil memikirkan jawapan yang sesuai dengan pemikiran anak kecil ini. Lantas akupun menjawab, ”kalau kita blaja mengaji, kita pandai baca iqra, kalau pandai baca iqra kita pandai baca Al-Quran”. Haziq dan rakan seperjuangannya mengangguk tanda faham. Selama beberapa tahun membantu ibuku mengajar, belum pernah ada yang bertanya soalan sebegitu. Ternyata anak-anak kecil ini masih kabur dengan tujuan belajar mengaji Al-Quran. Alhamdulillah Si Haziq ini terbuka mindanya untuk mengetahui tujuan mengaji. Tetapi hati kecilku masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan. Apakah jawapan yang sesuai patut aku berikan supaya mereka faham? (Sama-sama kita fikirkan)

Kadang-kala aku tertanya-tanya mengapa adik-adik kecil ini datang mengaji tanpa mengetahui tujuan mereka mengaji? Adakah untuk menuruti suruhan ibu bapa atau mungkin terpengaruh dengan ajakkan rakan-rakan? Rasulallah SAW pernah bersabda: “ Suruhlah anak kamu sembahyang tatkala umurnya 7 tahun. Dan rotanlah dia bila umurnya mencapai 10 tahun jika dia enggan melakukannya”.

Hadis ini menyarankan anak-anak diajar solat semenjak kecil dan merotan anak-anak dalam hadis tersebut bukan bertujuan memudaratkan tetapi memberi kesedaran kepada anak-anak bahawa solat itu bukanlah permainan tetapi tuntutan agama. Dari perspektif lain, hadis itu cukup jelas memberi kesedaran tentang proses pembelajaran ilmu agama kepada anak-anak. Sebaik-baiknya sejak kecil lagilah anak-anak dilatih dan dididik menunaikan amalan fardu seperti solat, puasa dan membaca Al-Quran. Proses pembelajaran ini hendaklah dilakukan berterusan sesuai dengan perkembangan pemikiran dan pertumbuhan anak-anak. Semoga anak-anak kecil ini akan mengerti betapa beruntungnya mereka mempelajari wasiat agung yang diwariskan Rasulallah SAW.amin...

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...